Indeks Persepsi Rasuah Transparency International Malaysia

Dari segi Indeks Persepsi Rasuah yang dilaporkan oleh Transparency International , Malaysia berada di tempat ke-23 pada 1995, ke-36 pada 2001, ke-33 pada 2002, 37 (2003), 39 (2004), 39 (2005) dan 44 pada 2006 dan 43 pada 2007 [3]. Pada 2006, Malaysia menduduki tempat ke-44 antara 163 negara yang dikaji oleh Transparency International bagi Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2006, dengan mendapat lima daripada 10 mata. [4] Indeks Persepsi Rasuah Transparency International 2007, kedudukan Malaysia lebih baik iaitu 76 peratus daripada keseluruhan 179 buah negara .[5]

Biasanya orang ramai memerhatikan pegawai agensi penguatkuasaan meminta habuan atau rasuah, seperti yang melibatkan jabatan imigresen, polis, kastam dan Puspakom. Ini ada kaitan dengan kerumitan dan kekaburan dalam proses kelulusan serta pelesenan oleh pelbagai pihak berkuasa tempatan dan berkanun. Budaya "senyap" yang diamalkan oleh masyarakat di Malaysia, apabila mereka menyaksikan perbuatan rasuah enggan bersuara atau melaporkan kes turut menyuburkan amalan rasuah.

Indeks Persepsi Rasuah Malaysia (CPI) tahun 2008 kekal di paras 5.1, sama seperti tahun 2007. Denmark, New Zealand dan Sweden berkongsi mata tertinggi iaitu 9.3, diikuti Singapura dengan 9.2 mata. Somalia pula mencatat mata paling rendah iaitu 1.0, manakala Iraq dan Myanmar mencatat 1.3 mata dan Haiti 1.4 mata. [6]

Ketua Pengarah BPR Datuk Seri Ahmad Said Hamdan berharap Malaysia akan menjadi antara 30 negara terbaik dalam indeks rasuah Transparency International. Beberapa langkah telah diambil seperti penubuhan Sekretariat Pencegahan Rasuah Institusi Pengajian Tinggi yang dilancarkan oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapa Mohamed. Kajian BPR pada 2003 melibatkan mahasiswa di IPT mendapati 30.5 % daripada mahasiswa yang disoal menyatakan mereka sanggup menerima sogokan dan menyalah guna kuasa jika mereka diberi peluang atau berkuasa. Jadi usaha membanteras rasuah perlu bermula dari sekolah hingga ke peringkat universiti.Terdapat 700,000 pelajar di institusi pengajian awam dan swasta, dan mereka perlu dididik dan dibimbing untuk menjauhi rasuah, masa depan negara menjadi lebih baik. [7]

BPR akan menubuhkan 17 bilik gerakan di seluruh negara untuk menyiasat sebarang dakwaan rasuah berhubung pilihan raya pada masa depan. Tujuannya bagi memudahkan orang ramai membuat aduan tentang kes salah guna kuasa atau rasuah semasa pilihan raya.

Malaysia juga adalah anggota lembaga pengarah eksekutif Persatuan Antarabangsa Badan-badan Anti Rasuah. Kerajaan Malaysia juga telah menggubal Pelan Integriti Nasional (PIN) dan penubuhan Institut Integriti Malaysia.

Secara signifikan, Malaysia lebih baik berbanding pesaingnya untuk pelaburan langsung asing (FDI), sebagai contoh Thailand, China, India, Vietnam, Filipina dan Indonesia.Mungkin Indeks Persepsi Rasuah tidak begitu penting dari segi daya penarik FDI sesebuah ekonomi seperti yang kita kadang kala percaya. Malah boleh dipertikaikan bahawa tahap ketelusan, keselarian dan kerumitan dasar serta peraturan kerajaan mungkin sama penting, kalau bukan lebih lagi.[8]

Rujukan

WikiPedia: Transparency International Malaysia http://web6.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=... http://web6.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=... http://web6.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=... http://web8.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=... http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=2... http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=2... http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=2... http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=3... http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=3... http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news_lite.php...